PELAKON: Ben Joshua, Nia Ramadhani, Nadilla Ernesta, Marsha Arwan dan Dennis
TERBITAN: MD Pictures
Nikko (Ben Joshua), pelajar kacak berusia 20 tahun telah pun mengikat tali pertunangan dengan gadis cantik bernama Dona (Nia Ramadhani) yang berusia 19 tahun dan mereka saling menyintai antara satu sama lain. Sampai di satu ketika, Nikko berkenalan dengan Livi (Nadia Ernesta), gadis seksi berusia 19 tahun yang bekerja di sebuah kafe. Semenjak dari pertemuan itu, sikap Nikko mulai berubah. Dia mula jatuh cinta kepada Livi hingga sanggup menipu Donna.
Manakala Livi pula mulai berasa yakin Nikko mencintainya. Namun rasa yakin itu mulai berubah apabila melihat kemesraan di antara Nikko dan Dona melebihi kasih sayang yang Nikko curahkan padanya. Timbul pertelingkahan. Nikko cuba menyakinkan Livi dengan menyatakan yang Dona itu pilihan orang tuanya. Buatnya, Livi adalah satu-satunya yang dikasihinya.
Masa berlalu. Nikko dan Livi tenggelam dalam dunia percintaan mereka, sehingga Livi mengandung dan meminta Nikko bertanggungjawab. Nikko tidak dapat menerima kenyataan dan tidak mahu mengkhianati Dona. Livi kecewa dengan Nikko dan mereka bertengkar. Nikko tidak dapat mengawal amarahnya lalu menolak Livi. Kepala Livi terhantuk ke dinding menyebabkan dia cedera parah dan meninggal dunia. Nikko yang panik kemudiannya mencampak mayat Livi di bawah Jambatan Ancol.
Selepas kejadian itu, Nikko merasakan dia dihantui oleh Livi. Bermula dengan panggilan dari Livi, setelah itu dia menerima sms (sistem pesanan ringkas) menyatakan “Sayang, cinta ini milik kita” di mana perkataan ini yang selalu disebut semasa bercinta. Sejak dari itu, kehidupan Nikko mulai kucar-kacir dek kerana hantu arwah Livi terus menghantui Nikko.